Dua enjin pesawat dikawal ketat di Uruguay
KUALA LUMPUR: Dua enjin pesawat tempur, F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang masih tersadai di Uruguay dan menanti proses dibawa pulang ke Malaysia, kini diletakkan di bawah kawalan ketat di sebuah lokasi oleh pihak berkuasa negara berkenaan.
Enjin yang hilang sejak dua tahun lalu itu, dilaporkan ditemui pihak berkuasa negara terbabit di sebuah gudang di Montevideo, ibu negara Uruguay, sebelum disita dan dipindahkan ke sebuah lokasi lain bagi menunggu proses penghantaran pulang ke Malaysia.
Duta Besar Malaysia ke Buenos Aires, Argentina yang turut ditauliahkan ke Uruguay, Datuk Zulkifli Yaacob, berkata beliau difahamkan proses membawa balik aset ketenteraan itu sedang diusahakan menerusi saluran diplomatik antara Jabatan Peguam Negara dan Kerajaan Uruguay.
Beliau berkata, pihaknya sedia menghulurkan segala bantuan yang diperlukan kepada Jabatan Peguam Negara bagi memastikan enjin berkenaan dibawa pulang secepat mungkin, khususnya dari segi mengatur pertemuan dengan pihak berkuasa Uruguay.
“Pihak kedutaan sedia memberi bantuan sepenuhnya kepada Jabatan Peguam Negara bagi membawa pulang dua enjin F-5E, terutama dalam mengatur pertemuan dengan pihak berkuasa Uruguay serta mengendalikan lawatan ke negara itu jika diperlukan.
“Berdasarkan laporan sebelum ini, enjin itu ditemui di sebuah gudang di Montevideo oleh pihak berkuasa Uruguay sebelum disita dan dipindahkan ke sebuah lokasi. Ia kini ditempatkan di bawah kawalan pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi, di Buenos Aires, semalam.
Kejayaan itu adalah atas kerjasama Kerajaan Uruguay kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bahagian Perhubungan Antarabangsa Pejabat Peguam Negara yang terbabit secara langsung dalam siasatan kehilangan berkenaan.
0 comments:
Post a Comment